Posted by Nidzam Kadir

ADUAN DIROGOL/DILIWAT DAN QAZAF…SATU PANDANGAN

1. Qazaf ialah tuduhan daripada seorang insan yang mukallaf terhadap seseorang dengan tuduhan zina tanpa empat saksi. Ia berdasarkan firman Allah mafhumnya : “Dan orang yang melontarkan tohmahan terhadap wanita yang baik kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah akan mereka dengan 80 kali sebat”. (Surah an-Nur : 4).

2. Namun, tuduhan tersebut mestilah dengan asas mengaibkan. Oleh itu, perkataan saksi atau doktor di mahkamah contohnya yang menyatakan ada bukti zina tidaklah termasuk dalam bab qazaf.

3. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian terhadap hukuman qazaf iaitu dalam kes li’an. Apabila suami menuduh isterinya berzina tanpa 4 saksi, maka asalnya si suami juga dikenakan qazaf. Namun jalan keluarnya ialah dengan li’an iaitu suami bersumpah empat kali. Ini sabit dalam surah an-Nur ayat 6 hingga 9.

4. Juga diterima secara dasar bahawa kes zina boleh dikembangkan kepada liwat.

5. Apakah maqasid syariah daripada perlaksanaan hukuman qazaf? Jika diselidiki, antaranya ternyata Islam menjaga keharmonian masyarakat dan maruah individu. Tuduhan sewenang-wenangnya bahawa seseorang berzina dan liwat akan menjatuhkan maruah individu muslim dalam masyarakat muslim. Oleh itu, tuduhan tanpa bukti kukuh iaitu saksi secara asal boleh dikira sebagai qazaf.

6. Persoalannya, adakah laporan dan dakwaan kepada pihak berkuasa bahawa berlakunya zina atau liwat juga dikira sebagai qazaf?

7. Jika yang mengadu adalah pihak ketiga iaitu pihak yang tidak terlibat dengan jenayah tersebut, maka ia mesti mengemukakan 4 saksi. Ini kerana kemampuannya membawa 4 saksi ketika jenayah berlaku.

8. Namun jika laporan atau aduan dibuat oleh pihak yang terlibat dengan jenayah tersebut, kemungkinan besar ia tidaklah termasuk dalam bab qazaf. Contohnya dalam kes rogol. Adakah wajar wanita yang dirogol kemudiannya membuat laporan polis bahawa dia dirogol oleh seseorang lelaki tetapi kerana tidak mampu membawa 4 saksi maka wanita tersebut dihukum qazaf.

9. Maqasid syariah jelas antaranya kebaikan keadilan dan keharmonian masyarakat. Jika dibiarkan semua dakwaan tanpa saksi dan bukti, sudah tentu akan berlaku bermacam-macam dakwaan. Sebaliknya jika semua aduan tidak perlu disiasat kerana tiada 4 saksi, maka banyak kezaliman yang berlaku tetapi tidak didedahkan.

10. Orang yang menuduh/mendakwa hendaklah mengemukakan bukti. Ini kerana ia sudah tentu tidak akan berani mendakwa tanpa bukti. Manakala pihak yang dituduh tidak dikira bersalah hingga sabit bukti yang sah. Oleh itu, orang yang dituduh boleh bersumpah menafikannya sahaja.

11. Berbalik kepada aduan pihak pertama atau kedua iaitu orang yang terlibat dengan zina/liwat, ia tidak memerlukan saksi. Pihak berkuasa mestilah menyiasat kebenaran dakwaan tersebut. Ia berdasarkan hadis bahawa Nabi s.a.w. menghukum sebat seratus kali dan buang daerah selama setahun ke atas anak seorang lelaki yang mengaku berzina dengan seorang wanita. Untuk wanita tersebut, Nabi menghantar Unais untuk bertanya kebenaran ikrar tersebut. Jika wanita tersebut juga mengaku bahawa dia berzina, maka hukuman dilaksanakan. Jika wanita tersebut tidak mengaku, maka dibiarkan.

12. Namun, aduan tersebut sewajarnya diadukan tanpa didedahkan kepada masyarakat umum. Wanita yang dirogol mesti membuat aduan sewajarnya agar siasatan dilakukan. Orang yang diliwat juga mesti membuat aduan agar siasatan dilakukan. Namun ia sewajarnya hanya dalam pengetahuan pihak berkuasa. Pendedahan kepada umum menjejaskan keharmonian dan maruah seseorang.

13. Jika terdapat bukti rogol atau liwat, aduan oleh pengadu akan terkeluar daripada hukuman qazaf kerana sudah wujud qarinah (bukti sampingan). Pendakwaan boleh dikenakan terhadap yang dituduh, namun sabitan kesalahannya bukanlah dengan bukti asal iaitu 4 saksi sebaliknya dengan bukti lain. Maka hukuman yang akan dijatuhi nanti ialah hukuman tak’zir, bukannya hudud.

14. Maka aduan dirogol atau diliwat boleh diadukan kepada pihak berkuasa tanpa dihebahkan agar siasatan dilakukan walaupun tanpa saksi empat orang. Aduan bukanlah dalam konsep qazaf lagi.

(Sekadar pandangan yang boleh diterima dan ditolak)