Posted by Nidzam Kadir

SELAWAT DAN ZIKIR ANTARA SOLAT TERAWIH

Ketika solat Terawih juga, amalan sebahagian masyarakat ialah diselang-seli antara setiap dua rakaat dengan selawat. Kalau selepas empat rakaat, selawatnya lebih panjang. Biasanya selepas dua rakaat, pak bilal berkata :
فَضْلاً مِنَ اللهِ وَنِعْمَةً وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، لَهُ الـمُلْكُ وَلَهُ الـحَمْدُ يـُحْيِى وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَذُخْرِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ


Kemudian, para jamaah akan berselawat beramai. Manakala setiap kali habis empat rakaat Terawih, ada tiga langkah atau gear dalam berselawat. Kali pertama, pak bila selawat pendek. Contohnya :
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ
Kali kedua, selawatnya panjang sedikit dengan menambah lafaz ‘sayyidina’ :

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Manakala dalam gear tiga, selawatnya lebih panjang dan suaranya lebih nyaring :

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَذُخْرِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ

Inilah sebahagian amalan masyarakat dalam melaksanakan ibadat Terawih. Maka sebahagian ulama berpendapat ia bukanlah salah dan tidak mengapa kerana lafaz tersebut hanyalah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana selawat memang disuruh dalam Quran dan sunnah Nabi tanpa penentuan masanya. Quran menyatakan :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Wahai orang yang beriman! Berselawatlah ke atasnya (Nabi s.a.w.) dan ucapkan salam penghormatan kepadanya”. (Surah al-Ahzab : 56).

Jadi boleh berselawat bila-bila masa. Sambil minum kopi, sambil membaca surat khabar, sambil menonton tv, sambil berjoging dan sebagainya. Cuma ada beberapa tempat di mana ada disebut dalam hadis tentang selawat. Antaranya :
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ثُمَّ يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ ثُمَّ ليَدْعُ بَعْدُ بِمَا يَشَاءُ
“Apabila seseorang kamu berdoa, maka mulakanlah dengan tahmid terhadap Allah dan pujian ke atasNya. Kemudian berselawat ke atas Nabi. Kemudian berdoalah dengan apa yang dia kehendaki”. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Antaranya lagi pada hari Jumaat kerana sabda Nabi s.a.w. :
إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الـجُمُعَةِ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيهِ
“Sesungguhnya antara hari kamu yang paling baik ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah ke atasku daripada selawat padanya”. (Riwayat Abu Daud).

Selain itu, tidak ada pula satu larangan khusus untuk tidak boleh berzikir dan berselawat antara rakaat solat Terawih. Amalan zikir dan selawat antara rakaat Terawih lebih kurang dengan amalan orang Makkah di mana mereka bertawaf tujuh kali setiap kali selesai Terawih. Oleh kerana itu, ada tercatat bahawa orang Madinah pula menambah rakaat solat Terawih lebih daripada 20 rakaat. Tujuannya bagi menggandakan amalan ibadat kerana penduduk Madinah tidak boleh tawaf. Ehm…takkan pula hendak tawaf di kubur Nabi s.a.w. Mana boleh.

Namun ada ulama tidak bersetuju dengan kaedah selawat ketika solat Terawih. Ini kerana amalan ini tidak dibuat oleh Nabi s.a.w. mahupun generasi awal Islam. Memang selawat tidak salah tetapi menjadikan ia satu rutin seolah-olah satu penambahan dalam agama. Maka ia satu bida’h. Kalau hendak selawat, biarlah secara individu sahaja. Tidak perlu gegak-gempita satu masjid atau surau dengan selawat. Asasnya kerana amalan ini tidak dibuat oleh Nabi s.a.w.

Inilah perbezaan pandangan antara ulama. Boleh diamalkan dan boleh ditinggalkan. Namun amat elok kiranya kedua pandangan ini disatukan demi kemaslahatan umat. Antaranya kalau hendak berselawat antara rakaat Terawih, silakan. Walau bagaimanapun, biarlah nada suara dengan volume yang sesuai. Tidaklah perlu menjerit-menjerit untuk berselawat. Lagi satu, lafaz selawat bukanlah Quran yang mesti dalam satu bentuk sahaja. Boleh ubah-ubah, apa salahnya. Dengan ini, suasana solat yang lebih hening dan khusyuk moga dapat dibentuk.

This entry was posted on 06 September 2008 at Sabtu, September 06, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 ulasan

assalamualaikum... ana nk ty sket.. yg bid`ah itu haqiqi`ah/idhofiah/tarkiyah(yg ana blajar) ataupun yg lebih tpt bid`ah saiyi`ah ke hasanah...? wassalam

13 November 2008 8:42 PG
Tanpa Nama  

Is Yeti Real?
http://www.is-bigfoot-real.com/

13 Februari 2010 8:40 PG

Catat Ulasan