Posted by Nidzam Kadir

WATAK-WATAK SYAITAN SEPANJANG MASA

Ini adalah beberapa watak syaitan sebagai contoh :

1. Cubaan merosakkan aqidah tauhid yang benar. Inilah tujuan utama syaitan agar manusia sesat daripada kebenaran. Sebagai contoh sebagaimana yang diceriatkan dalam hadis bahawa syaitan agar menimbulkan persoalan dalam diri setiap orang tentang siapakah yang membuat benda ini dan siapa pula yang menjadikannya? Akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa setiap benda ada penciptanya. Ketika itu syaitan agar menimbulkan soalan tentang siapakah yang menjadikan tuhanmu? Oleh itu, Nabi s.a.w. menasihatkan agar memohon perlindungan kepada Allah. (Mafhum hadis riwayat Bukhari).

2. Syaitan akan mengikat setiap manusia ketika tidur dengan tiga ikatan. Inilah antara sebab yang menyebabkan manusia rasa malas dan letih untuk bangun pagi bersolat Subuh. Apabila jaga dan menyebut Allah, maka akan terputuslah satu tali. Apabila berwudhuk maka putuslah tali kedua. Apabila bersolat maka putuslah tali ketiga. Ketika itu barulah manusia berasa bersemangat dan segar. (Mafhum hadis riwayat Bukhari).

Oleh itu, apabila bangun bacalah doa bangun tidur atau sekurang-kurangnya sebutlah nama Allah. Kemudian segera berwudhuk dan bersolat.

3. Tujuan syaitan mengikat dengan tiga ikatan agar manusia tidak dapat bangun malam untuk bertahajud dan solat Subuh pada waktunya. Oleh itu, beberapa perkara boleh dibuat bagi menghalangnya iaitu :
- Berwudhuk sebelum tidur kerana sabda Nabi s.a.w. :
إِذَا أَتَيْتَ إِلَى مَضْجَعِكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوْءَكَ لِلصَّلاَةِ
“Apabila engkau datang ke tempat tidurmu maka berwudhuklah seperti wudhuk solat”.

- Membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah kerana sabda Nabi s.a.w. :
الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُوْرَةِ الْبَقَرِةِ مَنْ قَرَأَهُمَا فِى لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Dua ayat daripada akhir surah al-Baqarah, sesiapa membacanya pada malam nescaya memadailah baginya”. (Riwayat Bukhari).

- Membaca ayat Kursi.
- Boleh juga bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33 kali setiap satu.

4. Orang yang tidak dapat bangun malam adalah rugi kerana sabda Nabi s.a.w. :
ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِى أُذُنَيْهِ
“Itulah orang yang mana syaitan telah kencing dalam telinganya”. (Riwayat Muslim).

Makna kencing boleh difahami secara zahir. Boleh juga difahami bahawa syaitan berjaya menghalangnya daripada mendengar azan dan zikir.

5. Syaitan juga membawa mimpi-mimpi ngeri bagi menjadikan manusia berada dalam sedih. Seorang lelaki menceritakan kepada Nabi s.a.w. bahawa dia melihat dalam mimpi bahawa kepala telah dipukul. Nabi s.a.w. menasihatkannya dengan sabdanya :
لاَ تُحَدِّثِ النَّاسَ بِتَلَعُّبِ الشَّيْطَانِ بِكَ فِى مَنَامِكَ
“Jangan kamu ceritakan kepada manusia dengan permainan syaitan kepadamu dalam tidurmu”. (Riwayat Muslim).

6. Syaitan ketawa apabila seseorang menguap kerana ia tanda kemalasan. Sabda Nabi s.a.w. :
وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَهُوَ مِنَ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ
“Adapun menguap maka ia dari syaitan maka tolaklah ia semampunya”. (Riwayat Muslim).

Sebenarnya syaitan mungkin masuk ke dalam badan manusia ketika menguap apabila mulut tidak di tutup. Sabda Nabi s.a.w. :
إِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيْهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ
“Apabila seseorang kamu menguap maka letakkanlah tangannya atas mulutnya kerana syaitan akan masuk”. (Riwayat Muslim).

7. Syaitan juga bertenggek atas batang hidung setiap manusia. Sebab itu digalakkan membersihkan hidung kerana diriwayatkan sabda Nabi s.a.w. :
إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيْتُ عَلَى خَيَاشِيْمِهِ
“Apabila seseorang kamu bangun daripada tidur maka bersihkanlah hidungnya tiga kali kerana syaitan bermalam di atas hidungnya”.

8. Syaitan mewaswaskan manusia. Asalnya syaitan ingin merosakkan manusia tetapi jika manusia itu seorang mukmin, maka syaitan hanya mampu menimbulkan was was dalam hatinya. Pun begitu penyakit was was perlu diubati kerana ia berpunca daripada syaitan.

9. Was was yang paling utama ialah ketika solat. Seorang sahabat mengadu masalah ini ketika solat kepada Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w. :
ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَب فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ وَاتْفُلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا
“Itulah syaitan yang dipanggil Khanzab. Apabila kamu merasainya maka berlindunglah kepada Allah dan ludahlah di sebelah kirimu sebanyak tiga kali”. (Riwayat Muslim).

Biasa juga syaitan akan mengkhayalkan seseorang yang bersolat. Misalnya dia mencari sesuatu benda seperti kunci tetapi tidak dijumpai. Apabila bersolat barulah dia teringat di mana kunci itu berada. Oleh itu dia akan terfikir macam mana kunci itu berada di situ. Akhirnya dia tidak khusyuk dalam solat. Sabda Nabi s.a.w. :
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ يُصَلِّي جَاءَهُ الشَّيْطَانُ فَلَبَّسَ عَلَيْهِ حَتَّى لاَ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ، فَإِذَا وَجَدَ ذَلِكَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ
“Sesungguhnya apabila seseorang kamu bangun untuk bersolat, syaitan akan datang kepadanya lalu mewaswaskannya hingga dia tidak sedari berapa rakaat yang dia telah tunaikan. Maka apabila kamu mendapati berlaku yang demikian maka sujudlah dua kali sujud dalam keadaan duduk”. (Riwayat Muslim).

10. Lupa juga berpunca daripada syaitan. Firman Allah menceritakan kalam sahabat Nabi Musa a.s. :
وَمَا أَنْسَانِيْهُ إِلاَّ الشَّيْطَانُ
“Dan tidaklah membuat aku lupa melainkan syaitan”. (Surah al-Kahfi : 63).

Begitu juga ingatan Nabi Yusuf kepada teman penjaranya agar menyebut kisahnya kepada raja namun dia terlupa. Firman Allah :
وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِنْهُمَا اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ
“Dan Yusuf berkata kepada salah seorang temannya yang disangkanya akan keluar dari penjara agar menyebutnya kepada rajanya lalu syaitan telah melupakannya”. (Surah Yusuf : 42).

Akhirnya tujuan utama ialah agar lupa kepada Allah. Firman Allah :
اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ ذِكْرَ اللهِ
“Syaitan menguasai atas mereka lalu syaitan melupakan mereka daripada mengingati Allah”. (Surah al-Mujadalah : 19).
11. Syaitan juga akan berusaha agar umat Islam sentiasa berada dalam permusuhan dan persengketaan sesama sendiri. Sabda Nabi s.a.w. :
إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّوْنَ فِى جَزِيْرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ فِى التَّحْرِيْشِ بَيْنَهُمْ
“Sesungguhnya syaitan telah putus asa agar manusia beriman menyembahnya di tanah Arab tetapi masih mampu mewujudkan persengketaan sesama mereka”. (Riwayat Muslim).

Oleh kerana itu, setiap muslim dilarang membuat apa-apa tindakan yang boleh menyalakan api permusuhan seperti mengacukan senjata kepada muslim yang lain. Sabda Nabi s.a.w. :
لاَ يُشِيْرَنَّ أَحَدُكُمْ إِلَى أَخِيْهِ بِالسِّلاَحِ فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ أَنْ يَنْزِغَ فِى يَدِهِ فَيَقَع فِى حَفْرَةٍ مِنَ النَّارِ
“Janganlah seseorang kamu mengacukan kepada saudaranya dengan senjata. Kemungkinan dia tidak menyedari bahawa syaitan akan menarik tangannya lalu dia terjatuh dalam lubang neraka”. (Riwayat Bukhari).

12. Akkhir sekali, syaitan sentiasa bekerja bagi menyesatkan manusia. Apa yang disebutkan sebelum ini hanya sekadar beberapa peranan syaitan sahaja. Lebih umum apa yang digambarkan dalam satu hadis :
إِذَا أَصْبَحَ إِبْلِيْسُ بَثَّ جُنُوْدَهُ فِى اْلأَرْضِ فَيَقُوْلُ : مَنْ أَضَلَّ مُسْلِمًا أَلْبَسْتُهُ التَّاجَ. فَيَقُوْلُ لَهُ الْقَائِلُ : لَمْ أَزَلْ بِفُلاَنٍ حَتَّى طَلَّقَ امْرَأَتَهُ...لَمْ أَزَلْ بِفُلاَنٍ حَتَّى زَنَى... لَمْ أَزَلْ بِفُلاَنٍ حَتَّى شَرِبَ الْخَمْرَ.... لَمْ أَزَلْ بِفُلاَنٍ حَتَّى قَتَلَ...
“Apabila pagi menjelma, Iblis akan menghantar tenteranya di bumi lalu bertitah : “Sesiapa yang berjaya menyesatkan seorang muslim, aku akan pakaikan kepadanya mahkota”. Selepas itu ada yang berkata : “Aku sentiasa bersama fulan hinggalah dia menceraikan isterinya”. Ada yang berkata : “Aku sentiasa bersama fulan hinggalah dia berzina”. Ada yang berkata : “Aku sentiasa bersama fulan hinggalah dia minum arak”. Ada yang berkata : “Aku sentiasa bersama fulan hinggalah dia membunuh”…(Riwayat Ahmad).

ISLAMIC DATING  

Posted by Nidzam Kadir

Hari ini sudah terlalu ramai yang berdating. Ramai yang belum bertunang sudah keluar dating. Ada juga yang keluar berdating semasa bertunang.

Hubungan sebagai pasangan kekasih dan hubungan pertunangan tidak sama dengan perkahwinan. Pertunangan tidak menghalalkan apa-apa hubungan. Ia sekadar perjanjian untuk mereka berkahwin sahaja. Ramai juga yang kurang faham konsep pertunangan ini atau buat-buat tak faham. Mereka melancong ke sana-sini berdua-duaan, menunaikan umrah bersama tanpa ditemani mahram dan sebagainya. Dating dengan makna dan gambaran yang wujud pada hari ini seperti berdua-duaan, berpegang tangan, menonton wayang bersama, si gadis membonceng motosikal tunangnya dan sebagainya adalah dating yang menyalahi hukum agama.

Tetapi Islam bukanlah agama jumud/beku. Ia membenarkan pertemuan yang baik dan harmoni dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya :
1) Menjaga pandangan mata
2) Percakapan yang baik
2) Pakaian yang menutup aurat dan sopan
3) Tempat pertemuan yang tidak menimbulkan fitnah

Menjaga pandangan mata

1. Ketika berbual, pandangan mata hendaklah dijaga agar tidak memandang dengan nafsu syahwat. Pandangan mata adalah satu senjata sulit Iblis dan Syaitan bagi merosakkan anak Adam. Oleh kerana itu, Quran menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan. Firman Allah :
قُلْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ أَبْصَارِهِمْ ... وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ
“ Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menahan pandangan mereka… dan katakanlah kepada wanita beriman agar mereka menahan pandangan mereka…” (Surah an-Nur :30-31).

2. Tidak melihat aurat orang lain atau berusaha melakukannya. Jika terpandang aurat, maka hendaklah cepat-cepat mengubah pandangan mata.


Percakapan yang baik

1. Suara yang lunak dan menggoda akan menarik antara satu sama lain ke arah melakukan maksiat. Oleh itu, dalam aspek bercakap, Islam membenarkan lelaki dan wanita berkomunikasi antara satu sama lain dengan syarat percakapan itu tidak menggoda. Quran menyebut syarat ini dalam wahyu :
فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِيْ فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوْفًا
“Maka janganlah kamu kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan berkatalah akan perkataan yang baik”. (Surah al-Ahzab : 32).

2. Tajuk perbualan hendaklah tajuk yang serius atau agak serius. Tidak wajar untuk berbicara tentang perkara-perkara lucah, tentang anggota seksual sendiri dan seumpamanya. Mungkin tidak wajar juga berbual perkara-perkara yang remeh-temeh seperti pertanyaan tentang mandi, makanan, masakan hari ini dan sebagainya.

3. Tidak mengandungi unsur-unsur mengumpat, menghina orang lain, mencerca dan sebagainya.

Ciri pakaian yang menutup aurat

1. Pakaian mestilah pakaian yang menutup aurat.

2. Aurat wanita ketika bertemu lelaki ajnabi (bukan mahram iaitu lelaki yang boleh menjadi suaminya) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Pergelangan kaki juga dikira sebagai aurat. Ada sebahagian ulama berpendapat ia tidak aurat. Oleh itu adalah baik jika wanita memakai stoking. Pakaian yang elok dipakai adalah baju kurung dan tudung kepala.

3. Pakaian juga mestilah tidak nipis sehingga menampakkan kulit seseorang pemakainya.

4. Pakaian juga mestilah tidak ketat hingga menampakkan bentuk tubuh seseorang pemakainya. Kebiasaannya seluar jeans adalah seluar yang ketat. Baju kebaya juga biasanya dibuat daripada kain yang nipis dan ketat. Namun jika baju kebaya dibuat dengan kain yang tidak nipis dan tidak ketat, maka ia boleh dipakai.Ada sesetengan remaja wanita suka memakai seluar. Ini tidaklah menjadi kesalahan dalam agama selagi ia tidak nipis dan tidak ketat serta menutup aurat.

5.Tudung kepala hendaklah menutup rambut dan tengkuk/leher. Pemakaian skaf untuk tudung kepala adalah tidak sempurna kerana masih nampak leher. Tudung juga hendaklah labuh agar menutup bahagian depan dada wanita. Firman Allah :
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوْبِهِنَّ
“dan hendaklah mereka menutup kain kerudung mereka ke dadanya” (Surah an-Nur :31).

Fesyen tudung seperti tudung labuh, tudung tiga segi, tudung ‘wardina’, tudung bawal, tudung ‘mawi’ dan sebagainya adalah baik selagi ia menutup aurat.

8. Fesyen pakaian hari ini seperti menampakkan pusat, ketat dan sebagainya adalah jelas haram.

9. Pakaian wanita tidaklah menyerupai pakaian lelaki dan pakaian lelaki tidaklah menyerupai pakaian wanita. Hadis menyebut bahawa Saidina Abu Hurairah berkata :
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لبْسَةَ الْـمَرْأَةِ ، وَالْـمَرْأَةَ تَلْبَسُ لبْسَةَ الرَّجُلِ .
“Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Tiru ini termasuk dalam banyak aspek. Antaranya aspek pakaian. Islam bukan anti-fesyen bahkan Islam mengalu-alukan setiap fesyen yang baik. Islam anti-dedah aurat dalam berfesyen.


Tempat pertemuan

1. Jauhi tempat-tempat yang banyak hiburan, maksiat dan fitnah. Disko, bar, kelab malam (dalam pengertian sekarang) adalah tempat yang tidak wajar dikunjungi oleh setiap muslim.

2. Tempat yang sunyi dan jarang dikunjungi orang adalah tempat yang tidak sesuai untuk bertemu. Pertemuan di kelas-kelas yang terpencil pada waktu petang mesti dielakkan.

3. Alangkah elok jika tempat bertemu itu tempat yang terbuka seperti restoran, kedai makan, pejabat, bank dan sebagainya. Dalam hadis diceritakan bahawa seorang wanita Ansar datang kepada Nabi s.a.w. maka Nabi pun bersunyian dengan wanita tersebut. (Mafhum HR Bukhari).

Ada riwayat menyebut bahawa bersama wanita tersebut seorang budak lelaki. Maksud ‘bersunyian’ dalam hadis bukan bermakna Nabi s.a.w. bersama dengan wanita itu di tempat tertutup. Maksudnya ialah Nabi bercakap dengan wanita tersebut di tempat yang jauh sedikit daripada orang lain sehingga mereka tidak mendengar perbualan Nabi, tetapi orang ramai masih melihat Nabi dan wanita Ansar tersebut.

Adat yang berlaku dewasa ini di mana seseorang bersama tunangnya ke sana-ke mari adalah adat yang bertentangan dengan Islam. Sabda Nabi s.a.w. :
“Tidak boleh bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan ada mahramnya”. (Mafhum HR Bukhari).

Tujuan Islam adalah bagi menjaga agama dan maruah diri agar terhindar daripada fitnah. Jika pantang larang ini tidak dipatuhi, akan berlaku fitnah dan keburukan seperti khalwat, berdua-duaan dan zina. Sebab itu, Nabi s.a.w. mewasiatkan tentang fitnah lelaki terhadap wanita dan fitnah wanita terhadap lelaki dengan sabdanya :
مَا تَرَكْتُ بَعْدِيْ فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Aku tidak tinggalkan fitnah yang lebih mudharat ke atas lelaki daripada wanita”. (Riwayat Bukhari).

selamat ber'dating' menurut hukum syarak.

 

Posted by Nidzam Kadir

KEADILAN ISLAM DALAM HUKUMAN BUNUH TERHADAP KESALAHAN MURTAD

Gesaan agar hukuman bunuh ke atas kesalahan murtad menimbulkan keresahan di kalangan non muslim dalam negara ini. Ia juga menakutkan golongan yang berminat dengan Islam kerana jika mereka menganut Islam, maka mereka tidak boleh keluar melainkan dibunuh sahaja.

Apakah hukuman terhadap kesalahan murtad


Hukuman bunuh adalah hukuman bagi kesalahan murtad. Ia telah menjadi kesepakatan para ulama silam. Ia bersandarkan satu hadis Nabi s.a.w. maksudnya berbunyi :
“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia”. (Riwayat Bukhari).

Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata :
“Dan para fuqaha telah sepakat di atas kewajipan bunuh terhadap murtad…dan para ahli ilmu telah ijmak di atas kewajipan membunuh orang yang murtad”. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, juzuk 7, halaman 5580).

Keadilan Islam dalam hukuman murtad

Timbul satu persoalan di benak fikiran ramai umat Islam dan golongan bukan Islam tentang agama Islam yang begitu keras menghukum orang yang murtad. Di mana kebebasan beragama yang termaktub dalam perlembagaan? Alangkah zalimnya Islam hingga sanggup menghukum bunuh orang yang murtad?

Persoalan ini perlu dijelaskan dengan rapi dan teliti. Secara umum, Islam itu adil. Kalau tidak adil itu bukan ajaran Islam. Hukuman yang zalim sudah tentulah bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, bagi menilai hukuman murtad maka adalah wajar Islam yang bersumberkan Quran dan sunnah dikaji. Maka hukuman murtad juga mestilah diteliti berdasarkan Quran dan sunnah, bukannya sunnah sahaja.

Quran memberikan kebebasan untuk manusia memilih agamanya. Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Firman Allah mafhumnya :

“Tidak ada paksaan dalam agama”. (Surah al-Baqarah : 256).

Quran juga menegur sikap memaksa untuk beriman dalam firman Allah mafhumnya :
“Adakah kamu (hendak) memaksa manusia hingga mereka menjadi orang yang beriman”. (Surah Yunus : 99).

Jika diteliti dalam Quran, tidak disebut hukuman bunuh terhadap orang murtad secara langsung. Antara yang disebutkan ialah amalan kebaikan orang yang murtad tidak diterima dan dia akan dimasukkan ke dalam Neraka. Ini dirakamkan dalam Al-Quran mafhumnya :

“Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka merekalah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan merekalah ahli Neraka yang kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah : 217).

Allah juga berfirman :
“Bagaimana Allah akan memberi hidayah kepada satu golongan yang kufur selepas iman mereka, serta mereka bersaksi bahawa Rasul adalah benar, dan datang akan mereka oleh keterangan. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang zalim”. (Surah Aali I’mran : 86).

Kalau pengertian ayat ini difahami dengan baik, ia sebenarnya sudah menjadi hukuman yang amat berat bagi orang yang murtad.

Bagaimana sunnah melihat kepada hukuman murtad ini?

Kalau begitu yang tersurat dalam Quran, di manakah diambil hukuman bunuh kepada orang murtad? Sebenarnya hukuman ini diambil daripada sunnah Nabi s.a.w. yang sahih iaitu sabdanya yang bermaksud :
“Sesiapa yang menukar agamanya (Islam kepada agama lain) maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari).

Ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang lain maksudnya berbunyi :
“Tidak halal darah seorang muslim melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara : Duda/janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisos) dan orang yang meninggalkan agama serta memisahkan daripada jamaah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga dalam athar diceritakan bahawa Muadz bin Jabal r.h. bertemu dengan Abu Musa r.h. dan didapati ada seorang lelaki yang diikat. Apabila disoal siapakah lelaki tersebut, Muadz diberitahu bahawa dia adalah seorang lelaki Yahudi yang menganut Islam namun kemudian dia keluar murtad untuk menganut semula agama Yahudi. Melihat kes tersebut. Muadz berkata bahawa beliau tidak akan duduk hinggalah lelaki Yahudi itu dibunuh kerana ia adalah hukuman daripada Nabi s.a.w. sendiri.

Ini adalah kefahaman para sahabat. Sudah tentu Muadz bin Jabal r.h. sebagai salah seorang sahabat besar Nabi s.a.w. tidak akan berkata sesuatu melainkan ia pasti daripada Nabi s.a.w.

Begitulah amalan para sahabat Nabi r.a. Abu Bakar as-Siddiq r.a. memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan sebahagian sahabat r.a yang lain sebagaimana diceritakan dalam kitab-kitab hadis dan fiqh. Bahkan disebutkan bahawa hukuman bunuh terhadap jenayah murtad adalah disepakati oleh para ulama.

Dalam suasana umat Islam hari ini, bagaimana kefahaman yang sesuai untuk kita memahami hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad?

Adalah menjadi dasar untuk umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Quran dan sunnah. Namun ada masanya berlaku perubahan hukum akibat kefahaman yang berbeza terhadap nas-nas Quran dan sunnah itu sendiri.

Bagi menghimpunkan antara Quran dan sunnah, maka murtad ada dua jenis :
1. Murtad yang memerangi Islam
2. Murtad yang tidak memerangi Islam

Murtad jenis pertama ialah murtad yang berbahaya. Orang murtad ini bukan setakat keluar daripada Islam tetapi memerangi Islam. Dia mencaci dan menghina Islam. Dia menulis buku, artikel dan sebagainya bagi menggambarkan keburukan Islam. Dia mempersendakan hukum Islam. Dia juga menyeru orang lain untuk membenci Islam. Ada juga yang hanya masuk Islam bukan dengan niat yang betul tetapi sekadar mempermainkan agama sahaja. Ini memang patut dihukum bunuh kerana ia sama seperti jenayah khianat. Penganut agama lain pun akan marah jika ada orang menghina agama mereka, tuhan mereka dan ajarannya. Bayangkan jika seorang India beragama Hindu keluar daripada agama Hindu untuk memeluk Islam dengan rela. Setelah menganut agama Islam, dia meludah tuhan orang Hindu, menghina agama mereka, memperbodohkan amalan agama mereka dan memperlekehkan apa sahaja yang berkaitan dengan agama. Ketika ini, sudah pasti setiap penganut agama Hindu akan marah dan berazam untuk membunuh pengkhianat tersebut. Dalam Quran, kita dilarang untuk mencaci atau menghina mana-mana agama atau tuhan agama lain.

Adapun murtad jenis kedua iaitu murtad ringan, Dia tidak melakukan semua itu. Dia mungkin hanya tidak berpuas hati dengan Islam akibat umat Islam yang rosak akhlak. Mungkin kerana kemunduran umat Islam. Mungkin kerana ajaran agama yang dirasakan berat hasil tafsiran golongan tertentu yang sempit dalam memahami Islam. Mungkin dia menganut Islam kerana ingin berkahwin tetapi setelah berkahwin, pasangannya mengabaikannya. Golongan seperti ini wajar diberi penerangan agar jelas dengan ajaran Islam yang sebenar. Dalam istilah fiqh disebut sebagai diminta bertaubat.

Jika hukuman bunuh terhadap murtad berdasarkan hadis sahih, kenapa kita perlu meraguinya lagi?

Hadis sahih hendaklah diterima dengan baik. Walau bagaimanapun, hadis sahih dalam masalah murtad masih lagi termasuk dalam hadis Aahad. Petunjuk atau dalalah bagi hadis ini masih lagi dalam daerah zonn, (sangkaan) bukannya qatie (pasti).

Daripada sudut sunnah atau hadis pula, arahan Nabi s.a.w. agar orang murtad dibunuh boleh lagi dikaji. Ada kemungkinan sabda tersebut adalah berdasarkan sifat Nabi s.a.w. sebagai ketua negara. Oleh itu, jika ada kepentingan untuk melaksanakan hukuman bunuh, maka kerajaanlah yang bertanggungjawab melaksanakannya. Perkara ini telah menjadi kajian ulama silam yang muktabar. Antaranya al-Imam al-Qurafi (683 H) yang membicarakan dalam kitabnya al-Furuuq pada perbahasan perbezaan nombor 36. Beliau menyebut bahawa ada waktunya Nabi bertindak sebagai seorang Nabi dengan menyampaikan fatwa. Kadang-kadang pula tindakan Nabi s.a.w. sebagai seorang hakim dan ada masanya sebagai ketua negara. Tindakan berdasarkan fatwa tidak perlu menjadi persoalan tetapi tindakan berdasarkan sifatnya sebagai hakim atau ketua negara tentulah berasaskan maslahat dan kebaikan. Selain itu, apakah sabda Nabi s.a.w. agar orang yang murtad itu dibunuh difahami secara mutlak atau perlu ada syarat-syaratnya yang lain. Kalau dikaji dalam Perjanjian Hudaibiyyah yang berlaku dalam akhir tahun enam Hijrah, ada satu terma syarat menyatakan bahawa sesiapa yang datang kepada golongan Quraish di Makkah, maka ia tidak perlu dihantar kepada umat Islam semula di Madinah. Ada sahabat yang tidak bersetuju dengan syarat ini. Nabi s.a.w. menjawab :
“Ya. Sesiapa yang meninggalkan kita dan pergi kepada mereka (Quraish), maka Allah menjauhkannya”.

Adakah kefahaman begini bermakna bahawa kita umat Islam menggalakkan murtad?


Ini bukanlah bermakna bahawa kita kena redha dan gembira dengan murtad. Quran menjelaskan bahawa Allah tidak redha akan kekufuran bagi hamba-hambaNya. Firman Allah mafhumnya :
“Dan Allah tidak redha agi hamba-hambaNya akan kekufuran”. (Surah az-Zumar : 7).

Dan kaedah juga menyatakan bahawa redha dengan maksiat adalah maksiat, dan redha dengan kekufuran adalah kufur. Oleh itu, kita mempunyai beberapa tanggungjawab, antaranya :
1. Berdakwah kepada masyarakat muslim agar faham dan mempunyai aqidah yang kuat serta beriltizam dengan hukum-hukum syarak.
2. Berdakwah kepada masyarakat non muslim bagi menarik mereka mendapat cahaya iman dengan menunjukkan pengamalan Islam yang menyeluruh (syumul).
3. Memantapkan usaha agar aqidah, kebajikan dan sebagainya bagi umat Islam - baru atau lama - dijaga dengan baik. Ini termasuk aspek pemantapan ilmu, bantuan kewangan, bantuan sosial dan sebagainya.

Kalau selepas itu, berlaku juga murtad maka kita hendaklah beristighfar dan memuhasabah diri kita samada kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik atau tidak. Sesungguhnya tiada orang yang akan murtad jika dia tahu keindahan dan kehebatan Islam.

Kefahaman terhadap hukuman murtad melalui dua jenis ini akan menzahirkan keadilan dan toleransi Islam. Jika tidak diberikan perincian begini, secara langsung ia menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang zalim. Tambahan pula umat Islam ketika ini berada dalam keadaan yang lemah dalam banyak keadaan. Kefahaman ini mungkin betul dan mungkin juga tidak berapa tepat. Apapun, kes murtad memerlukan penyelesaian menyeluruh.