Posted by Nidzam Kadir

ULAMA, SIKAP KITA DAN PANDANGAN MEREKA

1. Umat Islam yang sedar akan kewajipan ilmu dan beragama dengan baik hari ini mempunyai aliran-aliran yang berbeza.
2. Sekadar contoh, ada kelompok yang terpisah kerana kefahaman kepartian parti politik. Ada kelompok yang terpisah kerana mengikuti sesuatu pandangan ulama. Maka muncullah istilah golongan-golongan tertentu seperti Sufi. Sufi begitu mengkagumi ulama-ulama dalam bidang kesufian. Dalam putaran darjah yang berlawanan, ada kelompok yang digelar Wahabi walaupun nama itu dibantah oleh kelompok tersebut. Kelompok ini menyanjung tinggi pandangan dan fatwa ulama-ulama ikutan seperti Syeikh Albani, Syeikh Ibn Baz, dan sebagainya.
3. Terdapat juga kelompok yang mengikut jamaah tertentu seperti Jamaah Tabligh. Terdapat juga kelompok gerakan Islam dan NGO seperti JIM, ABIM dan sebagainya.
4. Di antara kelompok-kelompok ini, ‘peperangan’ antara golongan yang pro-sufi dan pro-wahabi agak kuat.
5. Yang menyedihkan, para ulama juga dikelompokkan sebegitu rupa. Maka ada kumpulan yang menolak ulama-ulama tertentu dengan pelbagai tuduhan.
6. Tidak dinafikan, terdapat perbezaan pandangan antara para ulama. Dr. Ramadhan al-Buti ada menyanggah kefahaman Syeikh Albani, begitu juga sebaliknya. Mufti Mesir Dr. Ali Jumaat juga banyak menyatakan pandangan tidak bersetuju dengan para ulama daripada Saudi. Dr. Yusuf al-Qardhawi juga banyak disanggah oleh ulama yang lain. Syeikh Abdullah Hariri pula dituduh dengan beberapa tuduhan. Ulama-ulama silam juga dihentam dan seolah-olah diperlagakan antara satu sama lain.
7. Apa pendirian kita?
8. Sewajarnya para ulama dihormati. Apa jua pandangan yang mereka kemukakan, timbanglah dengan neraca ilmu. Mereka berijtihad untuk memahami Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Sudah tentu, ada ijtihad mereka yang benar, namun mungkin ada juga yang kurang tepat atau kurang sesuai. Tolaklah pandangan mereka dengan penuh adab.
9. Ambillah mutiara ilmu daripada para ulama. Ambillah ilmu hadis daripada Syeikh Albani tetapi janganlah fanatik kepada beliau. Manfaatkanlah ilmu Syiekh Abdullah Hariri. Kajilah pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, Dr. Ramadhan al-Buti dan sebahagian besar para ulama.
10. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.

 

Posted by Nidzam Kadir

FADHILAT KAYU KOKKA?

Kayu kokka adalah satu jenis kayu yang famous dalam masyarakat Melayu Islam. Oleh kerana itu, ramai juga yang menggunakan kayu kokka sebagai biji tasbih dan sebagainya.

Dalam persoalan kayu kokka, dapat dikesan dua aliran yang keterlaluan.

1. Satu pihak terlalu yakin dan percaya dengan kayu kokka. Kokka ada fadhilat yang tertentu. Orang yang menjual kayu kokka pun ada juga yang menyatakan bahawa bahtera Nabi Nuh a.s. dibuat dari kayu kokka. Tongkat Nabi Musa a.s. pun dibuat daripada kayu Kokka. Kalau sudah begitu, sudah tentu ada fadhilat khusus untuk kokka.

Di sini nampaknya terdapat kesilapan. Antaranya di manakah sumber yang menyatakan bahawa kapal Nabi Nuh a.s. dan tongkat Nabi Musa a.s. diperbuat daripada kayu kokka. Kalau ada sumber contohnya hadis, OK juga. Kalau ada hadis dhaif pun, bolehlah kerana ini bukan dalam bab hukum-hakam. Kalau hadisnya palsu, jangan pandai-pandai menyatakan ini hadis Nabi s.a.w. Besar dosanya.

2. Satu pihak lagi pula kadang-kadang terlalu cepat menghukum. Kalau ada sesiapa yang membeli tasbih kayu kokka, dituduhnya melakukan syirik. Kalau membeli kayu kokka, dikatanya sudah jatuh dalam syirik.

Di sini nampaknya terdapat kesilapan. Sebenarnya tidak ada salahnya pun dengan kayu kokka. Sekadar membeli dan menggunakan kayu kokka bukanlah syirik. Macamlah dengan minum air yang menghilangkan dahaga atau makan burger yang mengenyangkan perut. Ia berlaku dengan kehendak Allah. Begitu juga kalau hendak dibuat rumah, ada kayu yang memang kuat dan susah dimakan anai-anai.

Dalam dunia sains hari ini, terdapat banyak penemuan baru. Banyak khasiat makanan seperti herba yang didedahkan. Sekadar cakap orang tua, katanya bawang putih boleh mengurangkan tekanan darah tinggi. Kalau dilihat sepintas lalu, mungkin tidak logik. Tetapi kalau dikaji, mungkin ada khasiat tertentu dalam bawang putih yang boleh berfungsi sedemikian rupa.

Sekadar bandingan, ada satu hadis menceritakan fadhilat satu jenis kurma bernama ‘ajwah. Sabda Nabi s.a.w. :
مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْمٍ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَة لَمْ يَضُرَّهُ فِى ذَلِكَ اليَوْمِ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ
“Sesiapa yang makan waktu pagi setiap hari dengan tujuh biji tamar ‘ajwah, tidak memudharatkan ia pada hari tersebut oleh racun dan sihir”. (Riwayat Bukhari).

Hadis ini ada tercatat dalam kitab at-tibb dalam Sahih al-Bukhari. ‘Ajwah ini pula dikatakan antara tamar yang paling baik. Persoalannya adakah ia berlaku dengan sendiri atau dengan izin Allah jua? Sudah pasti dengan izin Allah.

Begitu juga hadis sahih di mana Nabi s.a.w. meminta beberapa orang minum air kencing unta sebagai ubat. Hadis ini tercatat dalam kitab at-tibb Sahih al-Bukhari. Namun sudut logiknya, sudah pasti ia menjijikkan untuk meminum air kencing. Namun inilah sebahagian petunjuk dalam soal perubatan.

Begitulah juga soal kayu kokka. Kalau kayu kokka sekadar dijadikan perhiasan, tidaklah salah. Kalau sekadar dijadikan ubat, tidaklah salah. Contohnya kalau sakit demam, disarankan minum air yang direndam kayu kokka. Kalau sakit gigi, disarankan minum air suam yang direndam kayu kokka, insyaAllah sembuh. Ia hanya satu kaedah rawatan sahaja. Kalau sekadar dijadikan biji tasbih, tidaklah salah.Kalau ada kajian saintifik membuktikan kebaikan kayu kokka, ia boleh diterima dalam Islam.

Namun yang menjadi masalah ialah kepercayaan salah terhadap kayu kokka. Kepercayaan dengan menjadikan kayu kokka sebagai tangkal azimat adalah salah. Kepercayaan bahawa kayu kokka boleh menakutkan jin dan syaitan juga tidak mempunyai sandaran kukuh. Kalau hendak menjual kayu kokka, silakan tetapi janganlah promosi dengan hadis yang palsu. Ini satu pendustaan terhadap Islam dan Nabi s.a.w.