Posted by Nidzam Kadir

BUDAYA BERBELANJA KETIKA MENYAMBUT RAYA

Memang menjadi lumrah dan adat bagi masyarakat untuk berbelanja lebih-lebih lagi belanja besar menjelang hari raya. Perkara ini tidaklah salah. Sifat berbelanja adalah dituntut dalam Islam. Jika tidak berbelanja, ia boleh termasuk dalam sifat bakhil dan ini sifat yang tidak baik. Namun ada beberapa pertimbangan yang wajar diberi perhatian ketika berbelanja khasnya sempena menyambut hari raya.

1. Pembaziran adalah perkara yang ditegah dalam Islam. Firman Allah mafhumNya :
“Dan janganlah kamu membazir dengan melampau. Sesungguhnya golongan yang membazir adalah saudara syaitan manakala syaitan itu amat kufur terhadap Tuhannya”.
Bagi menghindari pembaziran, perlu difahami apakah pengertiannya. Pembaziran ialah perbelanjaan harta wang ketika ada keperluan untuk menyimpannya atau tiada keperluan untuk berbelanja. Contohnya keperluan baju raya seorang anak hanya dua pasang sahaja tetapi dibelinya enam atau tujuh pasang dengan alasan harganya murah. Sekadar keperluan dan dalam kemampuan, ia bukanlah pembaziran. Begitu juga budaya masyarakat yang membeli terlalu banyak makanan ketika berbuka puasa, kadang-kadang ada yang sudah sampai tahap pembaziran yang tinggi. Mana tidaknya kerana banyak makanan tidak dapat dihabiskan bahkan ada yang dibuang ke tanah atau ke dalam tong sampah sahaja keesokan harinya. Maka berbelanja dengan sederhana dan berhemah serta jangan kedekut. Firman Allah dalam surah al-Furqan menceritakan sifat-sifat hamba Allah :
“Dan golongan yang apabila berbelanja mereka tidak melampau dan tidak kedekut. Dan mereka adalah sederhana antara keduanya”.
Oleh itu, amatlah elok dan wajar jika perancangan dibuat antara suami isteri atau sesama keluarga tentang keperluan perbelanjaan apa yang patut dibeli dan apa pula yang boleh ditangguhkan pembeliannya.

2. Budaya kedua yang perlu dihindari ialah budaya bermegah-megah dengan persiapan hari raya yang dibuat. Masih ada minda segelintir masyarakat yang mahu serba baru sempena hari raya. Tidak salah untuk membeli sofa baru, langsir baru, baju baru dan sebagainya. Namun adakah ia wajar dan apakah niat sebenar di hati. Jika wujud tanda kesombongan dan ingin bermegah-megah, ditakuti ia termasuk dalam firman Allah mafhumNya :
“Dan janganlah engkau memalingkan pipimu (mukamu) daripada manusia (kerana kesombongan) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang sombong dan membanggakan diri”. (Surah Luqman : 18).

3. Selain itu, ada juga budaya tidak peduli terhadap hukum-hakam yang asas ketika menyambut raya. Antaranya persoalan baju raya yang tidak menepati aspek hukum menutup aurat sedangkan aurat wajib ditutup. Baju yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan adalah tidak menepati ciri pakaian Islam. Begitu juga pakaian yang nipis kainnya hingga menampakkan isi dalam tubuh seseorang. Kaedah pakaian dalam Islam cukup mudah. Ia mestilah pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh (iaitu tidak ketat) dan tidak menanpakkan warna kulit badan (iaitu tidak nipis). Jika dua syarat ini dipatuhi, apa jua jenis fesyen baju dan pakaian adalah harus dalam Islam.

Selain itu, wujud juga perhiasan yang haram. Contohnya emas yang dipakai oleh lelaki sedangkan emas adalah haram dipakai oleh kaum lelaki. Sabda Nabi s.a.w. :
“Dihalalkan emas dan sutera bagi kaum wanita dan keduanya haram bagi kaum lelaki”.

4. Satu perkara yang menarik ketika budaya berbelanja ialah kealpaan dan kelalaian segelintir individu muslim terhadap kewajipan solat. Ada juga yang sengaja meninggalkan solat fardhu Zuhur kerana sibuk berbelanja memilih dan membeli barangan. Dengan kesesakan lautan manusia, mungkin sukar baginya untuk bersolat. Demikian ada gambaran pemikiran sedemikian. Budaya berbelanja sebegini tidak wajar dibuat. Apalah gunanya seronok berbelanja tetapi ia mengundang kemurkaan Allah. Ruh umum satu nas Quran dalam surah al-Maa’un berbunyi :
“Maka celakalah bagi orang yang bersolat. Iaitu golongan yang lalai dan lupa daripada solat”.

5. Ada juga golongan yang sibuk berbelanja hingga keletihan di malam hari. Daripada pagi sekitar jam sepuluh sampai petang hampir waktu berbuka puasa barulah selesai aktiviti berbelanja. Akhirnya tersadai di atas katil atau sofa selepas berbuka puasa. ia membawa kepada hilangnya semangat istiqamah untuk mengihyakan atau menghidupkan malam dengan ibadat khusus seperti solat sunat Terawih, bacaan Quran dan tahajjud. Alangkah ruginya jika budaya berbelanja sedemikian rupa kerana ganjaran pahala makin bertambah banyak pada penghujung bulan Ramadhan. Pada sepuluh malam yang akhir adanya lailatul Qadar yang kelebihannya lebih banyak daripada seribu bulan. Nabi s.a.w. bersabda dalam riwayat yang sahih :
“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir”.

Namun masih wujud yang alpa dengan hakikat tersebut. Mereka terlalu sibuk dengan persiapan rumah, pakaian, kuih-muih hari raya dan sebagainya. Hakikatnya tidak salah untuk membuat persiapan tetapi janganlah sampai perkara utama dalam bulan Ramadhan terkorban begitu sahaja.

Maka amatlah wajar budaya berbelanja ketika menyambut hari raya dijadikan asas sebagai ibadah kepada Allah. Syair ada berbunyi maksudnya :
“Bukanlah hari raya bagi mereka yang berbusana serba hebat dan serba baru.
Akan sesungguhnya hari raya bagi mereka yang ibadahnya bertambah maju”

Maka kelima-lima budaya ini mestilah disemak semula. Semoga kita menjadi insan bertaqwa lagi mulia.

This entry was posted on 26 September 2008 at Jumaat, September 26, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan