CARA MEMBERSIHKAN BEKAS YANG TERKENA KHINZIR
Kehidupan dalam masyarakat majmuk menyaksikan adanya hubungan antara muslim dengan non muslim. Bagaimana jika muslim menziarahi non muslim di rumah mereka dan dihidangkan dengan makanan dalam pinggan mereka.
persoalan ini perlu difahami dalam konsep kenajisan khinzir. Apabila difahami bahawa kenajisan khinzir bukan satu perkara yang disepakati oleh para ulama, bagaimana kaedah penyucian jika terkena khinzir atau dagingnya dan seumpamanya? Dalam persoalan ini, umat Islam mempunyai dua pilihan iaitu :
1. Menyamaknya sebagaimana cucian jilatan anjing berdasarkan fiqh mazhab Syafii.
2. Tidak menyamaknya tetapi sekadar dibasuh biasa sahaja.
Menurut Imam Nawawi r.a., salah seorang tokoh mazhab Syafii, kaedah cucian kerana khinzir bukanlah sama dengan jilatan anjing. Imam Nawawi berkata : “Pendapat yang rajih (kuat) daripada sudut dalil bahawa memadai dalam khinzir oleh satu kali basuhan tanpa tanah, dan dengan demikian kata kebanyakan ulama, dan ini yang terpilih; kerana asalnya tiada wajib hinggalah datang syarak”. (Nukilan daripada kitab Rahmat al-Ummah fi iktilaf al-aimmah, hal. 7).
Perkara pertama turut disentuh dalam kitab masyhur mazhab Syafii antaranya berbunyi :
( وَ ) الأَظْهَرُ ( أَنَّ الـخِنْزِيرَ كَكَلْبٍ ) وَمُقَابِلُهُ أَنَّهُ يَكْفِى فِى الـخِنْزِيرِ مَرَّة وَاحِدَة
“(Dan) pendapat yang lebih zahir (bahawa khinzir seperti anjing), dan pendapat berlawanannya bahawa memadai dalam khinzir sekali basuhan sahaja”. (Rujuk as-Siraj al-Wahhaj, hal. 23).
Dalam masalah ini, terdapat khilaf yang kuat. Oleh itu, digunakan lafaz al-azhar. Jika khilaf tidak kuat, digunakan lafaz al-masyhur.
Jadi dalam mazhab Syafii, wajib disamak walaupun Imam Nawawi berpendapat sebaliknya. Imam Abu Hanifah juga berkata bahawa ia dibasuh sebagaimana najis yang lain. Apakah dalilnya yang Imam Nawawi sebutkan? Mungkin ada hadis berkaitan. Menurut satu riwayat sunnah, penyucian bekas yang bersentuhan dengan daging khinzir adalah basuhan biasa. Daripada Sak’labah r.h. katanya :
يَا رَسُولَ اللهِ ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْم أَهْلِ كِتَابٍ أَفَنَأْكُلُ فِى آنِيَتِهِمْ ؟ قَالَ : إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا ، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا
“Wahai Rasul Allah! Sesungguhnya kami berada di bumi kaum ahli kitab. Adakah harus untuk kami makan dalam bejana mereka? Nabi s.a.w. bersabda : “Jika kamu mendapat selainnya (bejana mereka) maka janganlah kamu makan dalam bejana mereka. Dan jika kamu tidak dapati (bejana yang lain), maka basuhlah ia dan makanlah di dalamnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Golongan ahli kitab menjadikan daging khinzir sebagai makanan mereka. Sudah tentu jika perlu disamak, Nabi s.a.w. agar menyuruh disamak sebagai mana jilatan anjing. Penggunaan daging khinzir ini ternyata dalam riwayat yang lain :
إِنَّ أَرْضَنَا أَرْضُ أَهْلِ الْكِتَابِ وَإِنَّهُمْ يَأْكُلُونَ لَحْمَ الـخِنْزِيرِ وَيَشْرَبُونَ الـخَمْرَ فَكَيْفَ نَصْنَعُ بِآنِيَتِهِمْ وَقُدُورِهِمْ ؟ قَالَ : إِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالـمَاءِ وَاطْبُخُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا
“Sesungguhnya bumi kami bumi ahli kitab, dan sesungguhnya mereka makan daging khinzir dan minum arak. Maka bagaimana patut kami lakukan terhadap bejana mereka dan kuali mereka? Nabi s.a.w. bersabda : “Jika kamu tidak mendapati selainnya (bejana dan kuali mereka), maka basuhlah ia dengan air dan masaklah di dalamnya dan minumlah”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Rujuk Nail al-Author, juzuk 1, hal. 95, no hadis 73).
Berdasarkan riwayat ini, masalah yang membelenggu umat khususnya golongan yang muallaf (yang baru menganut agama Islam) dengan keluarga masing-masing yang masih kekal sebagai non muslim akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Terdapat cerita-cerita di mana muslim baru ini tidak mahu melakukan ziarah ke rumah keluarga mereka walaupun terhadap ibu bapa sendiri dengan alasan khuatir makanan yang dihidangkan ada campuran khinzir. Mereka juga tidak mahu minum dengan cawan atau gelas di rumah kerana ia mungkin pernah digunakan untuk minuman arak.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan beberapa keadaan, antaranya :
1. Pemilihan waktu ziarah yang sesuai dengan waktu makan. Mungkin elok diziarahi pada sebelah petang dengan mengelakkan waktu makan puncak seperti makan tengah hari atau makan malam.
2. Membawa makanan sendiri untuk dimakan bersama.
3. Jika perlu menggunakan cawan, pinggan dan sebagainya maka basuhlah ia sekadarnya dengan air yang bersih.
3 ulasan
Molek juga tindakan anda. Apapun, fahamkan kawan muallaf tadi dgn sedikit hukum Islam dalam soal makanan. Apabila dia telah faham, tidak perlu was-was lagi.
Assalamualaikum Ustaz
Saya ada sedikit persoalan untuk diajukan. Saya baru membeli sebuah kereta terpakai dari seorang pesara berbangsa Cina yang memelihara anjing. Menurutnya, beliau tidak pernah membawa masuk anjing ke dalam kereta tersebut. Namun begitu, saya ada terjumpa beberapa bulu berwarna putih (saya tidak pasti sama ada bulu anjing atau uban lelaki tersebut)dalam kereta tersebut. Persoalannya:
1. Perlukan saya menyamak bahagian dalam kereta tersebut dan bagaimanakah caranya. Untuk makluman ustaz, saya telahpun vakum bahagian dalaman kereta tersebut bagi membuang bulu-bulu tersebut.
2. Perlukah saya menyamak jari saya yg kering yang memegang bulu putih seperti yang diceritakan di atas (yang kering) bagi tujuan untuk membuangnya.
Harap ustaz dapat membantu saya yang masih dahagakan ilmu ini. Sekian, terima kasih.