FAHAMAN PLURALISME AGAMA
1. Fahaman pluralisme difahami sebagai fahaman yang menganggap semua agama termasuk Islam adalah sama. Tiada beza antara mana-mana agama.
2. Fahaman ini dikhuatiri membawa kesan berikut :
- Ikutilah mana-mana agama kerana semuanya menuju Tuhan.
- Tidak perlu masuk Islam jika hendak bernikah dengan muslim.
- Boleh bernikah dua kali, sekali cara Islam dan sekali lagi mengikut agama lain.
- Al-Quran tidak mempunyai mukjizat, bahkan ia sekadar buku sastera sahaja.
3. Fahaman ini adalah bertentangan dengan Islam. Agama yang diredhai oleh Allah ialah Islam.
4. Menentang pluralisme agama bukan bermakna tidak bertoleransi dalam agama.
5. Islam membenarkan toleransi. Maka untuk meraikan rakan-rakan bukan muslim sempena perayaan agama mereka seperti Krismas, Deepavali dan sebagainya adalah harus. Namun iktiqad sebagai muslim hanya menerima Islam sebagai agama yang diredhai Allah.
6. Untuk huraian lanjut, dicadangkan buku "Fiqah berinteraksi dengan non muslim" terbitan pihak Telaga Biru.
SIYAM DAN QIYAM RAMADHAN
1. Ada dua perkara penting dalam ibadah puasa Ramadhan.
2. Pertama kewajipan untuk melaksanakan ibadah puasa Ramadhan. Hikmahnya agar terjana rasa dan nilai taqwa sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 183.
3. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa (siyam) Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". (Riwayat al-Bukhari).
3. Maka puasa bukan sekadar menahan diri daripada tidak makan dan tidak minum sahaja.
4. Perkara kedua ialah qiyam Ramadhan. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Sesiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". (Riwayat al-Bukhari).
5. Apakah maksud qiyam Ramadhan? Ia difahami sebagai melakukan ibadah pada bulan Ramadhan termasuk ibadah sunat pada malam hari. Maka solat sunat Terawih termasuk dalam erti qiyam Ramadhan.
6. Dengan memahami dua perkara ini, moga-moga ibadah puasa kita menjadi suatu ibadah yang diteriman oleh Allah, Ameen.
AMALAN DI BULAN REJAB
1. Bulan Rejab termasuk salah satu bulan haram yang empat. Terdapat keutamaan Rejab secara umum berdasarkan cirinya sebagai bulan haram.
2. Namun ada diriwayatkan hadis-hadis menceritakan kelebihan Rejab secara khusus. Begitu juga amalan-amalan tertentu pada bulan Rejab. Namun nampaknya kebanyakan hadis tersebut dalam daerah dhaif dan palsu.
3. Masyarakat menjadi keliru apabila para ustaz memberikan hukum yang berbeza tentang fadhilat Rejab dan amalannya. Kekeliruan ini berlaku apabila wujud sikap mengkritik tanpa adab, menyesatkan amalan orang lain dan sebagainya.
4. Apakah pedoman bagi kita masyarakat awam?
5. Pertama, sebelum beramal, sewajarnya dikaji sesuatu amalan dan dalilnya. Rujuklah kepada buku agama yang berkelayakan dan bertanya kepada beberapa orang ustaz. Ini kerana setiap ustaz/ ulama mempunyai kemampuan ilmu yang terhad. Apabila diyakini sabitnya fadhilat dan amalan dengan nas yang diterima, maka beramallah.
6. Kedua, jika belum yakin, biarlah seketika amalan tersebut. Lagipun amalan tersebut dikira dalam amalan fadhilat dan sunat, bukannya wajib dan fardhu. Juga tidaklah usah menyesatkan golongan lain yang beramal. Bincanglah dengan baik.
7. Ketiga, buatlah amalan yang pasti di bulan Rejab. Terdapat hadis fadhilat puasa bulan Rejab. Maka untuk mengelakkan kekeliruan, buatlah amalan yang pasti. Contohnya berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis, puasa hari putih iaitu 13, 14 dan 15 Rejab. Kalau dikira tidak mencukup, tambahilah lagi beberapa hari dengan niat memperbanyakkan amalan puasa.
8. Sebenarnya amalan yang pasti dalam Islam amat banyak. Tidak mampu untuk kita lakukan semuanya.
9. Ke empat, jika ijtihad kita tersalah dalam menentukan fadhilat Rejab, Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Kita sudah berusaha membaca, mengkaji dan bertanya kepada ahli ilmu.
10. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.
LEBIH MUDAH BERZINA DARIPADA BERNIKAH
1. Pernikahan dalam hukum Islam adalah amat mudah. Memadai dengan lima rukun nikah sahaja.
2. Walau bagaimanapun, pernikahan dalam pentadbiran hukum Islam tidak sekadar dengan rukun nikah tetapi pelbagai syarat perlu dipatuhi.
3. Tidak dinafikan bahawa pentadbiran yang digubal ada kebaikan dan maslahat masyarakat.
4. Namun ada masanya pentadbiran hukum ini menyusahkan pernikahan, khasnya dalam kes poligami.
5. Natijahnya, ramai pasangan bercinta lebih selesa berzina, seks suka sama suka, seks bebas dan sebagainya. Malah segelintir masyarakat muslim tidak kisah dengan pasangan yang bercinta tanpa ikatan nikah yang sah, pasangan yang berdua-duaan di tempat sunyi, pasangan yang berpegangan tangan di mana sahaja, pasangan yang keluar berdua hingga jam 1 pagi dan sebagainya.
6. Akan tetapi, jika ada pasangan yang bernikah dengan memenuhi rukun nikah cuma tidak menurut pentadbiran hukum syarak, kisah pasangan ini mungkin dijaja dan menjadi bahan cerita.
7. Benarlah sabda Nabi s.a.w. bahawa banyaknya zina adalah satu tanda daripada tanda Qiyamat atau tanda akhir zaman.
BERLAPANG DADA
1. Kepelbagaian pendapat dalam hukum Islam merupakan satu kebaikan jika umat Islam tahu bagaimana hendak berinteraksi dengannya.
2. Namun sayang, kepelbagaian pendapat ini menjadi sebab pula bagi umat Islam untuk saling salah-menyalahkan, saling bida'h membida'hkan, saling sesat menyesatkan dan sebagainya.
3. Dalam satu riwayat hadis, ada disebutkan tentang sifat beberapa perkara yang boleh merosakkan. Antaranya rasa u'jub (kagum) dengan diri sendiri atau pendapat sendiri.
4. Perbezaan pendapat dalam hukum Islam sebenarnya masih lagi berdasarkan dalil dan hujah syarak. Dalil dan hujah syarak ada beberapa jenis. Perkara ini boleh dikaji dalam ilmu usul fiqah.
5. Apabila ada pendapat mengatakan sesuatu perkara haram, sudah tentu ada di sana dalil syarak. Namun selagi mana dalilnya tidak sabit secara pasti dan tidak pasti pula petunjuknya, maka sudah tentu wujud perbezaan pandangan. Maka ada pendapat akan menyatakan ia halal.
6. Jika ada pendapat ulama membida'ahkan sesuatu perkara, namun di sana masih ada ulama berpendapat bahawa ia bukan bida'ah.
7. Justeru itu, marilah kita menanam beberapa sifat yang penting. Antaranya sifat beramal berdasarkan ilmu masing-masing. Kedua, sentiasa menambahkan ilmu dengan membaca, mengkaji, mengaji dan sebagainya. Ketiga, berlapang dada dalam persoalan yang masih menjadi perbezaan pendapat para ulama.
KENAPA KITA BERMAZHAB
1. Kalau Nabi Muhammad s.a.w. tidak bermazhab, kenapa kita perlu bermazhab?
2. Persoalan ini sering kali menghantui segelintir umat Islam.
3. Mazhab ialah kefahaman para ulama. Apabila disebut mazhab Syafii, ia adalah kefahaman Imam Syafii dan ulama kemudian yang mengikut gaya kefahaman beliau dalam memahami nas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Begitu juga dengan mazhab yang lain.
4. Apakah perlu bermazhab? Sebenarnya tidak perlu jika kita mempunyai kemampuan untuk berijtihad secara langsung daripada al-Quran dan hadis. Jika tidak, seeloknya mengikut kefahaman para ulama.
5. Contohnya dalam keinginan untuk makan kek. Bagaimana caranya untuk mendapatkan kek tersebut. Pertama dengan membeli bahan mentan seperti tepung, gula, telur dan sebagainya. Kemudian diproses masak hingga menjadi kek. Kedua dengan terus membeli kek di kedai.
6. Bagi yang mampu, silalah untuk membuat kek sendiri. Jika tidak, belilah kek di kedai.
7. Kenapa perlu bermazhab? Antaranya :
- Ketidakmampuan memahami nas al-Quran dan hadis secara menyeluruh. Bahasa Arab pun tidak dikuasai, bagaimana kemampuan untuk memahaminya dengan baik.
- Kekangan masa untuk berijtihad. Masing-masing ada tugasan dan urusan yang lain.
- Hukum mazhab masih berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Kalau dikaji setiap hukum, sudah pasti ada hujah dan dalil.
- Mazhab mengalami saringan dan perbahasan yang panjang. Apa yang sampai sudah disaring dengan baik.
- Mazhab penting dalam menjaga perpaduan umat agar tidak bertelingkah.
8. Cuma dalam bermazhab, jangan dikuasai fanatik mazhab. Hendaklah berlapang dada dalam setiap perbezaan.
9. Nabi s.a.w. tidak bermazhab kerana Nabi adalah sumber syariah. Setiap mazhab masih di bawah lingkungan syariah. Maka tidak wajar disebut mazhab Nabi s.a.w. kerana ini merendahkan martabat Nabi kerana menyamakan Nabi dengan para ulama. Nabi lebih tinggi dan utama daripada insan yang lain.
10. Jika tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan dalam mazhab Syafii, tidak mengapa. Kajilah dalil dan hujah yang lain. Namun adab ikhtilaf hendaklah dijaga.
11. Hari ini, para ulama masih lagi bergantung kepada kefahaman dalam mazhab yang muktabar dalam memahami nas syarak. Di Malaysia secara umum bermazhab Syafii namun ia tidak menghalang mazhab lain jika ada kewajarannya.
KALIMAH ALLAH
1. Allah adalah tuhan bagi seluruh alam. Ini dinyatakan dalam surah al-Fatihah ayat 2.
2. Hasrat sebahagian penganut bukan muslim untuk menggunakan lafaz Allah sebagai rujukan kepada Tuhan yang mereka sembah adalah satu perkembangan positif. Ia satu pengiktirafan kepada kewujudan Allah.
3. Ini boleh membuka ruang yang lebih luas untuk berdakwah dan mencari hakikat tuhan yang sebenar.
4. Namun wujud juga nilai yang negatif.
5. Antaranya pencemaran terhadap kalimah Allah. Allah dalam aqidah Islam adalah tuhan yang esa, tidak beranak, tidak dilahirkan dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Namun hakikat ketuhanan dalam masyarakat Kristian berdasarkan konsep triniti. Triniti membawa maksud bahawa tuhan terdiri daripada tiga entiti yang menjadi satu. Aqidah triniti ditolak oleh al-Quran.
5. Persoalan yang perlu dikaji, wujudkah kalimah Allah dalam kitab-kitab suci? Dalam al-Quran, memang wujud kalimah Allah ketika ayat al-Quran ditujukan kepada golongan ahli kitab.
6. Bagaimana dengan Bible yang terdiri daripada Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Adakah lafaz Allah wujud dalam versi bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan Arab? Jika tidak wujud, bermakna ia memang bukan istilah yang diterima dalam Bible hari ini. Jika wujud, bilakah kewujudannya dan adakah lafaz Allah adalah asal atau sekadar meminjam kalimah Arab.
7. Dikhuatiri kekeliruan juga mungkin berlaku di kalangan masyarakat muslim dan bukan muslim. Mungkin kan wujud kefahaman bahawa Islam dan Kristian adalah agama yang sama kerana tuhan kedua aagama ini disebut Allah. Akhirnya wujud pula pluralisma agama. Akhirnya mungkin wujud fahaman bahawa kita bebas untuk menganut Islam atau Kristian kerana tuhannya adalah Allah.
8. Faktor bahasa perlu difahami dengan baik. Adat masyarakat juga perlu diraikan. Konsep menutup pintu-pintu ke arah maksiat wajar difahami dengan baik.
9. Akhirnya perkara ini perlu difahami dengan tenang. Setiap individu muslim perlu memililki kefahaman aqidah tauhid yang jelas dan mantap. Apa jua yang berlaku, insyaAllah kita akan selamat.
BULAN MUHARRAM
1. Bulan Muharram bakal menjelma tidak lama lagi. Bagaimana persiapan kita?
2. Ada amalan masyarakat yang membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Doa akhir tahun mesti dibaca sebelum terbenam matahari hari terakhir tahun tersebut. Manaakala doa awal tahun dibaca selepas solat Maghrib pada malam pertama tahun baru. Adakah ia harus, sunat atau bidaah?
3. Saya tidak menjumpai dalil khusus daripada hadis Nabi s.a.w. tentang doa akhir tahun dan awal tahun. Mungkin banyak lagi hadis yang tidak saya baca. Bagi saya, untuk berdoa tidak mengapa bahkan ia sesuatu yang baik. Cuma menetapkan MESTI dibaca pada waktu sekian dan fadhilatnya sekian, maka sewajarnya ia mempunyai dalil yang sahih untuk beramal. Sekadar berdoa hukumnya harus, baik dan digalakkan. Cuma tidak semestinya terikat dengan versi doa yang ada kecuali memang ada nas hadis doanya versi demikian. Sekadar ilmu yang ada sedikit ini, belum dijumpai hadisnya.
4. Amalan sunnah yang sahih ialah berpuasa pada 10 Muharram. Juga berpuasa pada 9 Muharram. Inilah yang amat wajar diamalkan.
5. Adapun bubur asyura, ia sekadar adat dan aktiviti kemasyarakatan.
6. Namun sayang, sikap kita mengutamakan bubur asyura dan doa akhir/awal tahun namun puasa sunat 10 Muharram dibaikan.
7. Alangkah eloknya jika puasa sunat 10 Muharram dapat dilakukan sambil membuat bubur asyura. Dapat pula berbuka bersama-sama dengan bubur asyura.
8. Utamakan amalan yang pasti dan sahih.
BERIBADAH DAN DITERIMA ALLAH
1. Ada dua konsep yang boleh difahami dalam beribadah iaitu SAH dan MAQBUL.
2. Penekanan dan fokus banyak ditumpukan kepada konsep SAH. Ia merangkumi proses rukun, syarat dan perkara yang membatalkan.
3. Namun ramai juga muslim yang tidak meningkatkan kualiti ibadah bagi memastikan ia MAQBUL.
4. Dalam surah al-Maidah ayat 27, dikisah kisah dua anak Nabi Adam yang mempersembahkan korban. Ada yang diterima dan ada yang ditolak. Ibadat yang diterima hanya daripada golongan yang bertaqwa.
4. Dalam suatu riwayat hadis sebagaimana dalam tafsir Ibn Kathir, suratan amalan baik dibawa pada hari Qiyamat.Namun Allah memerintahkan agar beberapa amalan soleh dibuang. Malaikat pun erpinga-pinga lalu bertanya kepada Allah akan sebabnya. Allah menjawab bahawa sesuatu amalan bukan kerana Allah tidak akan diterima.
5. Dalam doa, ada lafaz doa agar Allah menerima amalan yang kita lakukan. Selepas solat berjamaah, imam akan berkata "Taqabala Allah minna wa minkum..." yang bermaksud "Semoga Allah menerima daripada kita dan juga kamu...".
6. Dalam surah al-Haj ayat 37, keredhaan Allah tidak boleh dicapai dengan daging dan darah haiwan korban. Yang boleh mendapat keredhaan Allah ialah nilai taqwa.
7. Maka sepatutnya kita ikhlas dalam beribadah agar Allah menerimanya dengan baik.
MEMAHAMI MAKNA IMSAK PUASA
1. Waktu imsak biasanya 10 minit sebelum waktu Subuh. Kalau waktu solat Subuh pada jam 5.52 pagi, maka waktu imsak ialah pada jam 5.42 pagi.
2. Apa konsep waktu imsak? Sebenarnya ia satu panduan praktikal dalam memulakan puasa pada hari tersebut.
3. Sebenarnya waktu mula tidak boleh makan ia waktu fajar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187. Tetapi adakah kita semua menanti waktu fajar dengan melihat fajar atau berpandukan azan radio/tv?
4. Sudah tentu kebanyakan kita hanya berpandukan azan di radio/tv sahaja. Di mana pula azan ini dipastikan samada fajar sudah ada atau belum? Sudah tentu berpandukan taqwim waktu solat Subuh. Jadinya semuanya tidak berpandukan hakikat sebenar, sebaliknya berpandukan teori ilmu falak yang menentukan waktu solat sepanjang tahun.
5. Maka dalam hal ini, sebagai panduan maka diletakkan waktu imsak. Tujuannya agar kita berhati-hati.
6. Kalau dalam keadaan biasa, eloklah berhenti waktu imsak. Ini memberikan kita ruang untuk membersihkan diri, menggosok gigi dan bersiap ke masjid untuk solat Subuh.
7. Namun jika keadaan terdesak, hendaklah difahami bahawa harus di makan lagi walaupun sudah masuk waktu imsak. Contohnya terjaga ketika pukul 5.35 pagi. Kalau Subuh pada jam 5.52 pagi, masih ada masa sekitar 15 minit untuk bersahur.
8. Tidak perlu diperdebatkan jika ada yang mahu berhenti makan pada waktu imsak atau jika ada yang masih makan walaupun sudah masuk waktu imsak. Semunya berusaha melaksanakan perintah bersahur dan melewatkan bersahur.
9. Yang mesti ditegur ialah sikap yang masih makan walaupun sudah masuk waktu solat Subuh.
HUKUMAN SEBAT KERANA KESALAHAN MINUM ARAK
1. Kesalahan minum arak dikenakan hukuman sebat.
2. Sebagai muslim, adalah amat wajar jika setiap pandangan kita ke arah menyokong perlaksanaan hukuman ini kerana ia termaktub dalam sunnah Nabi s.a.w.
3. Pandangan yang menyatakan bahawa hukuman sebat kerana kesalahan minum arak adalah hukuman yang zalim adalah satu pandangan yang tidak berasas.
4. Memang hukuman sebat itu zalim jika kaedah sebat sebagaimana kaedah kerana kesalahan jenayah yang lain, namun hakikatnya hukuman sebat secara syariah adalah berbeza.
4. Apapun perdebatannya, setiap muslim mesti berusaha melaksanakan perintah Islam.
5. Semoga hukuman yang diputuskan membuka ruang dan peluang untuk perlaksanaan hukuman Islam yang lebih baik insyaAllah.
BIDA'AH ATAU TIDAK?
1. Malam nisfu Syak'ban baru sahaja berlalu. Timbul persoalan samada amalan masyarakat yang mana mereka berkumpul dan membaca surah Yaasin dikira sebagai bida'ah atau tidak. Jika bid'ah, maka ia adalah sesat.
2. Sebenarnya, para ulama berbeza pandangan dalam memahami makna bida'ah. Perbezaan ini membawa kepada kefahaman hukum yang berbeza.
3. Jika ada ulama yang menyatakan bahawa bacaan surah Yaasin malam nisfu Syak'ban sebagai bida'ah, sebaliknya ada ulama yang menyatakan bahawa ia satu amalan baik.
4. Oleh itu, terserah kepada masyarakat untuk mengikut Quran dan sunnah berdasarkan kefahaman para ulama.
5. Sekadar contoh perbandingan, dalam mazhab Imam Syafii dikira bersentuhan kulit antara suami dan isteri membatalkan wudhuk. Namun dalam mazhab Maliki dan Hanafi tidak begitu. Adakah jika mengikut mazhab Syafii, maka mazhab Maliki dan Hanafi salah dan sesat?
6. Oleh itu, jika kita mengikut mazhab Syafii yang menyatakan wudhuk batal dengan sebab bersentuhan kulit, maka jika kita tidak mengambil wudhuk selepas bersentuhan dan terus solat maka ia dikira salah. Namun tidak salah bagi orang bermazhab Hanafi.
7. Oleh itu, hukum bida'ah berbeza antara sesuatu perkara. Jika dianggap amalan bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat dan dan lain-lain sebagai bida'ah, maka TIDAK HARUS dibuat bagi golongan yang beranggapan demikian. Namun HARUS bagi golongan yang lain untuk melakukannya. Ini kerana tiada nas Quran dan hadis yang jelas dalam masalah ini.
8. Berbeza dengan arak yang jelas nas tentang haramnya.
9. Oleh itu, marilah kita bersatu menentang bida'ah yang jelas dan disepakati oleh para ulama muktabar. Biarlah kita berlapang dada dalam masalah khilaf.
HUKUM DEMONSTRASI
1. Demonstrasi sering juga berlaku di seluruh dunia bagi menyatakan dan memperjuangkan sesuatu isu.
2. Adakah harus dalam Islam diadakan demonstrasi?
3. Pada pandangan saya, demontrasi adalah harus jika tidak menimbulkan bahaya atau mudarat yang besar. Namun hukumnya menjadi tidak harus jika ia membawa kepada mudharat yang besar.
4. Dalam demontrasi membantah ISA, secara peribadi saya berpendapat -sebelum ia berlaku - bahawa ia tidak harus.
5. Ini kerana :
- Usaha menghimpunkan jumlah yang ramai untuk berdemonstrasi akan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi jika ia berlaku di jalan raya.
- Terdapat pertembungan perhimpunan antara dua kumpulan iaitu pihak anti ISA dan pihak pro ISA. Dalam suasana ini, provokasi dan pergaduhan amat mudah berlaku.
- Tidak mendapat permit polis, bahkan pihak berkuasa telah menasihat dan memberi amaran agar demonstrasi ini dibatalkan.
- Demonstrasi sebegini boleh membawa kepada kerosakan harta benda, perjalanan perniagaan dan sebagainya.
6. Oleh itu, setiap ahli masyarakat termasuk pimpinan parti wajar melihat konsep maslahat dan mudharat.
7. Pandangan ini tidak semestinya benar. Allah jua yang mengetahui.
PEDOMAN BERSEDEKAH
1. Sedekah mempunyai pahala yang besar dan tanda kebenaran iman.
2. Namun dalam bersedekah, ada pedoman yang disebut dalam Quran.
3. Antaranya agar bersedekah mengikut kadar keperluan dan tidak membebankan. Ini boleh dirujuk dalam surah al-Baqarah ayat 219. Besarnya wang yang disedekah atau kecilnya bukanlah persoalan.
4. Penipuan juga berlaku dalam amalan meminta sedekah. Oleh itu, utamakan orang yang berhak dan dikenali. Rujuk surah al-Baqarah ayat 215.
5. Bersedekah mestilah dengan ikhlas. Jika riya, ia satu amalan yang sia-sia.
6.Jangan menghina atau mengherdik peminta sedekah. Jika tidak mahu memberi, gunalah bahasa yang baik dan sopan. Rujuk surah al-Baqarah ayat 263.
7. Carilah benda yang elok untuk disedekahkan. Jangan disedekahkan makanan yang sudah basi atau hampir basi. Rujuk surah al-Baqarah ayat 267.
Semoga sedekah kita diterima Allah.
IMAN TANPA AMAL
Kedapatan segelintir umat Islam yang mengaku beriman tetapi amal ibadahnya dan akhlaknya tidak menggambarkan keimanan yang sebenar. Ramai juga yang culas dalam perkara solat. Bukannya senang untuk konsisten dalam melaksanakan solat lima waktu setiap hari. Kalau solat pun banyak juga yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Begitu juga dengan ibadah puasa. ibadah puasa boleh ditipu. Tiada siapa yang tahu samada kita berpuasa atau tidak. Makanan boleh disimpan dalam rumah dan boleh dibeli dengan banyak.
Islam dibina di atas tiga asas yang utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Antara ketiga komponen ini, aqidah adalah asas yang paling utama dan tunjang kepada Islam. Tanpa aqidah, Islam akan terkubur dan segala amal soleh tidak akan dinilai di Akhirat nanti.
Persoalannya bagaimana keadaan iman tanpa amal? Adakah iman sebegini diterima oleh Allah? Jika direnung tak’rif iman, ada kalangan ulama yang menfasirkan iman sebagai tadiq dengan hati. Tasdiq dalam erti membenarkan dan mempercayai sahaja. Manakala amal soleh dianggap sebagai pelengkap tetapi bukan syarat sahnya iman. Namun ada para ulama yang menafsirkan bahawa iman ialah tasdiq dengan hati dan beramal dengan anggota badan. Maka mengikut zahir tafsiran ini, iman tidak sah jika tiada amalan soleh.
Dalam satu riwayat hadis, Muaz ibn Jabal r.h. menunggang keldai bersama dengan Nabi s.a.w. Satu soalan diajukan oleh Nabi s.a.w. kepada Muaz. Soalannya berbunyi :
“Wahai Muaz! Adakah kamu mengetahui apakah hak Allah ke atas hambaNya dan apakah pula hak hamba ke atas Tuhannya?
Muaz pun menjawab bahawa Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Dengan itu, Nabi s.a.w. pun bersabda :
حَقُّ اللهِ عَلَى العِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ، وَحَقُّ العِبَادِ عَلَى اللهِ أَنْ لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرِك بِهِ شَيْئًا
“Hak Allah ke atas hamba-hamba ialah mereka menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya akan sesuatu, manakala hak hamba ke atas Allah ialah Allah tidak menyiksa akan sesiapa yang tidak syirikkanNya akan sesuatu”.
Apabila mendengar kalam nabawi. Muaz bertanya kepada Nabi s.a.w. samada dia boleh memberitahu para manusia dengan berita gembira ini. Nabi s.a.w. pun bersabda :
لاَ تُبَشِّرْهُمْ فَيَتَّكِلُوا
“Janganlah engkau memberitahu mereka akan berita gembira ini lalu mereka hanya bergantung kepada kepada perkara tersebut sahaja”.
Dalam Quran sendiri dibezakan juga antara iman dan amal. Allah menyeru golongan beriman dan meminta mereka melaksanakan amalan soleh samada dalam bentuk ibadah khas atau ibadah umum. Sebagai contoh, dalam surah al-A’sr. Dalam surah ini diceritakan golongan yang rugi kecuali golongan yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.
Maka secara zahir, ada perbedaan antara iman dan amal soleh. Maka segelintir umat Islam masih ada yang enggan beramal ibadah kerana yang paling penting ialah keimanan kepada Allah.
Bagaimana kita perlu menghadapi pemikiran sebegini. Pemikiran yang mungkin ada kebenaran tetapi ia menghasilkan impak yang negatif dalam diri dan masyarakat.
Teori-teori dan tak’rif berkaitan iman adalah banyak. Namun persoalan iman dan amal tidak boleh dipisahkan.
1. Iman sentiasa dikaitkan dengan amal dalam Quran.
2. Dalam hadis tersebut, walaupun secara zahirnya iman sah tanpa amal namun mudharatnya adalah besar. Oleh kerana itu, di sana ternyata hikmah mengapa Nabi s.a.w. menegah Muaz daripada memberitahu konsep ini kepada orang lain.
3. Iman boleh bertambah dan berkurang. Pertambahan iman dilihat melalui aspek luaran seperti kuat beramal soleh. Manakala iman yang makin menipis dilihat daripada sudut luaran yang tidak menampakkan amal soleh. Akhlak yang buruk menggambarkan iman yang sedikit.
4. Penipisan iman dan pengurangan iman ini boleh sampai ketahap kosong. Ini bermakna sudah tiada iman ketika itu.
Solusi yang penting di sini ialah keimanan perlu disuburkan dan dimantapkan. Penyuburan dan pemantapan iman mesti dilakukan melalui ilmu dan amal ibadah.
Contoh mudah antara iman dan kufur ialah antara celik dan buta. Celik mempunyai kekuatan yang berbeza. Walaupun celik dan mampu melihat, ada yang memakai kaca mata. Kenapa? Ini kerana kekuatan mata melihat sudah berkurangan. Maka ada yang rabun jauh, rabun dekat, rabun malam dan sebagainya. Walapun rabun, ia masih dikira sebagai celik. Begitulah iman. Walaupun amalnya tidak sebagaimana iman, namun akar iman masih dikira wujud. Maka penghakisan iman boleh berlaku. Oleh itu, dalam satu riwayat hadis ada berbunyi :
“Tidak berzina seseorang itu ketika ia berzina dalam keadaan ia beriman”.
Ia satu petanda kehakisan iman. Walaupun iman masih ada, namun ia tidak zahir dan tidak menyerlah. Ini sebagaimana orang celik yang memejamkan mata. Sudah tentu ketika itu, ia tidak mampu melihat apa-apa. Bagaimana ia dapat melihat semula? Sudah tentu dengan membuka matanya. Maka iman yang hilang ketika melakukan maksiat akan bersinar kembali jika kita bertaubat. Namun kemungkinan ia akan terus hilang jika kita terus bergelumang dengan maksiat.
Solusinya ialah pengukuhan iman mestilah melalui amalan soleh. Biarlah iman tanpa amal ini ditinggalkan. Sebaliknya iman mesti dibajai dengan amal soleh yang berterusan.
DAYA SARING BAGI MAKLUMAT
1. Islam menyeru agar umatnya mencari ilmu. Termasuk dalam makna ilmum ialah maklumat, info dan sebagainya.
2. Namun bukan semua info yang diterima boleh dipercayai bulat-bulat.
3. Dalam surah al-Hujurat ayat 6, Quran mengajar konsep mencari bukti jika ada satu berita disampaikan. Dalam satu riwayat bacaan, Ia mengajar konsep mencari ketetapan.
4. Dalam riwayat sunnah, Nabi saw memberi kebenaran untuk meriwayatkan hadis daripada ahli kitab. Dalam istilah, disebut riwayat Israiliyyat. Namun Nabi memberi panduan agar jangan membenarkan ahli kitab dan jangan mendustakan mereka. Konsepnya agar disiasat terlebih dahulu.
5. Dalam satu riwayat hadis, Nabi saw bersabda mafhumnya : "Memadai bagi seseorang individu akan dosa jika dia menceritakan setiap apa yang dia dengar".
6. Konsepnya perlu ada daya saring terhadap setiap maklumat.
7. Hari ini, maklumat boleh diperolehi melalaui akhbar, majalah, buku, internet dan sebagainya. Sewajarnya ia tidak diterima bulat-bulat. Juga jangan ditolak begitu sahaja.
8. Fikir, kaji, saring dan ambillah yang terbaik.
KEHARUSAN BAGI ORANG BUKAN MUSLIM MEMBACA AYAT QURAN?
1. nampaknya tiada satu tegahan dalam Quran bagi golongan bukan muslim untuk membaca ayat Quran.
2. Manakala dalam hadis, tiada juga di sana satu tegahan bagi bukan muslim untuk membaca Quran.
3. Bahkan dalam surat-surat dakwah Nabi s.a.w. kepada pembesar dan ketua negara, terselit bait-bait ayat Quran. Antara contoh surat tersebut ialah surat kepada an-Najasyi Raja Habsyah, al-Muqayqis Raja Mesir dan Qaisar Raja Rom. Dalam ketiga-tiga surat ini, terdapat satu ayat Quran. Contoh surat daripada Nabi s.a.w. kepada Qaisar :
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ . مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْل عَظِيمُ الرُّومِ . سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الـهُدَى . أَسْلِمْ تَسْلَمْ ، أَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ . فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ إِثْمُ الأَرِيسِيِّينَ . يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ الله وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Daripada Muhammad hamba Allah dan rasulNya kepada Herakl ketua Rom. Sejahtera ke atas sesiapa yang mengikut hidayah. Berimanlah kamu nescaaya kamu selamat. Berimanlah kamu nescaya Allah memberikan kepada kamu pahala kamu dua kali. Maka jika kamu berpaling maka sesungguhnya ke atas kamu dosa golongan al-Arisiyyin. Wahai ahli kitab! Marilah kamu semua kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, dan tiadalah mengambil sebahagian kita akan yang lain sebagai tuhan selain Allah. Maka jika kamu semua berpaling, maka katalah agar bersaksilah bahawa kami adalah golongan muslim”. ( Rujuk al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah).
Dalam riwayat Sahih Muslim, disebutkan bahawa Qaisar mengambil surat yang dikirim oleh Nabi s.a.w. dan membacanya. (Rujuk Sahih Muslim, kitab al-Jihad, bab kitab nabi kepada pembesar Rom).
4. Cuma terdapat hadis yang menegah daripada bermusafir membawa Quran ke negara kafir harbi. Sabda Nabi s.a.w. :
لاَ تُسَافِرُوا بِالقُرْآنِ إِلَى أَرْضِ العَدُوِّ مَخَافَةَ أَنْ تَنَالَهُ أَيْدِيَهُمْ
“Janganlah kamu bermusafir dengan membawa Quran ke bumi musuh kerana ditakuti ia akan dirampas oleh tangan-tangan mereka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Rujuk kitab al-Mughni, juzuk 1, hal. 191).
5. Dalam masalah ini, Imam Nawawi r.a. membuat kesimpulan, antaranya :
1. Harus dibawa ke kawasan bukan muslim satu ayat, dua ayat dan seumpamanya daripada Quran.
2. Harus bagi orang bukan muslim menyentuh satu ayat Quran atau beberapa ayat Quran yang sedikit.
3. Tegahan Nabi s.a.w. ialah membawa keseluruhan Quran.
6. Oleh itu, jika ada individu ingin membaca ayat-ayat Quran maka hukumnya adalah harus. Tambahan pula jika niat dan bertujuan dakwah sebagaimana tujuan Nabi s.a.w. adalah tujuan dakwah Islam.
SIKAP KITA 'TIDAK FOKUS' PERLU DIFIKIRKAN
Ada beberapa sikap segelintir manusia yang terlalu mengumumkan dan tidak spesifik khasnya dalam mencari kesalahan pihak lain. Antara contohnya :
1. Dalam kes kematian Kugan, ada pihak menyalahkan pihak polis keseluruhannya seolah-olah semua polis adalah jahat. Begitu juga ada cakap-cakap bahawa semua pegawai perubatan kerajaan adalah penipu kerana kes forensik Kugan.
2. Dalam kes pelajar pondok di saman kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motorsikal, ada penceramah menyatakan ini (saman terhadap pelajar yang memakai serban ketika menunggang motor) kezaliman kerajaan.Ini kerana pelajar itu memakai serban.
3. Dalam kes ketua MACC, ada cubaan menjatuhkan maruah beliau dengan mendedahkan kesalahan yang dilakukan oleh anak beliau.
Saya ingin mengajak agar kita berfikir adakah tindakan ini wajar? Adakah tindakan ini selaras dengan ajaran Islam.
Dalam kes Kugan, nampaknya kesalahan tersebut dilakukan oleh beberapa pegawai polis sahaja. Itu pun jika benar mereka melakukannya. Tidakkah dalam kes saman , ia hanya tafsiran majistret sahaja. Mungkin jika majistret yang lain, ijtihadnya berbeza pula. Cuba fikir-fikirkan dengan Quran dan sunnah Nabi s.a.w.
CARA MEMBERSIHKAN BEKAS YANG TERKENA KHINZIR
Kehidupan dalam masyarakat majmuk menyaksikan adanya hubungan antara muslim dengan non muslim. Bagaimana jika muslim menziarahi non muslim di rumah mereka dan dihidangkan dengan makanan dalam pinggan mereka.
persoalan ini perlu difahami dalam konsep kenajisan khinzir. Apabila difahami bahawa kenajisan khinzir bukan satu perkara yang disepakati oleh para ulama, bagaimana kaedah penyucian jika terkena khinzir atau dagingnya dan seumpamanya? Dalam persoalan ini, umat Islam mempunyai dua pilihan iaitu :
1. Menyamaknya sebagaimana cucian jilatan anjing berdasarkan fiqh mazhab Syafii.
2. Tidak menyamaknya tetapi sekadar dibasuh biasa sahaja.
Menurut Imam Nawawi r.a., salah seorang tokoh mazhab Syafii, kaedah cucian kerana khinzir bukanlah sama dengan jilatan anjing. Imam Nawawi berkata : “Pendapat yang rajih (kuat) daripada sudut dalil bahawa memadai dalam khinzir oleh satu kali basuhan tanpa tanah, dan dengan demikian kata kebanyakan ulama, dan ini yang terpilih; kerana asalnya tiada wajib hinggalah datang syarak”. (Nukilan daripada kitab Rahmat al-Ummah fi iktilaf al-aimmah, hal. 7).
Perkara pertama turut disentuh dalam kitab masyhur mazhab Syafii antaranya berbunyi :
( وَ ) الأَظْهَرُ ( أَنَّ الـخِنْزِيرَ كَكَلْبٍ ) وَمُقَابِلُهُ أَنَّهُ يَكْفِى فِى الـخِنْزِيرِ مَرَّة وَاحِدَة
“(Dan) pendapat yang lebih zahir (bahawa khinzir seperti anjing), dan pendapat berlawanannya bahawa memadai dalam khinzir sekali basuhan sahaja”. (Rujuk as-Siraj al-Wahhaj, hal. 23).
Dalam masalah ini, terdapat khilaf yang kuat. Oleh itu, digunakan lafaz al-azhar. Jika khilaf tidak kuat, digunakan lafaz al-masyhur.
Jadi dalam mazhab Syafii, wajib disamak walaupun Imam Nawawi berpendapat sebaliknya. Imam Abu Hanifah juga berkata bahawa ia dibasuh sebagaimana najis yang lain. Apakah dalilnya yang Imam Nawawi sebutkan? Mungkin ada hadis berkaitan. Menurut satu riwayat sunnah, penyucian bekas yang bersentuhan dengan daging khinzir adalah basuhan biasa. Daripada Sak’labah r.h. katanya :
يَا رَسُولَ اللهِ ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْم أَهْلِ كِتَابٍ أَفَنَأْكُلُ فِى آنِيَتِهِمْ ؟ قَالَ : إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا ، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا
“Wahai Rasul Allah! Sesungguhnya kami berada di bumi kaum ahli kitab. Adakah harus untuk kami makan dalam bejana mereka? Nabi s.a.w. bersabda : “Jika kamu mendapat selainnya (bejana mereka) maka janganlah kamu makan dalam bejana mereka. Dan jika kamu tidak dapati (bejana yang lain), maka basuhlah ia dan makanlah di dalamnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Golongan ahli kitab menjadikan daging khinzir sebagai makanan mereka. Sudah tentu jika perlu disamak, Nabi s.a.w. agar menyuruh disamak sebagai mana jilatan anjing. Penggunaan daging khinzir ini ternyata dalam riwayat yang lain :
إِنَّ أَرْضَنَا أَرْضُ أَهْلِ الْكِتَابِ وَإِنَّهُمْ يَأْكُلُونَ لَحْمَ الـخِنْزِيرِ وَيَشْرَبُونَ الـخَمْرَ فَكَيْفَ نَصْنَعُ بِآنِيَتِهِمْ وَقُدُورِهِمْ ؟ قَالَ : إِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالـمَاءِ وَاطْبُخُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا
“Sesungguhnya bumi kami bumi ahli kitab, dan sesungguhnya mereka makan daging khinzir dan minum arak. Maka bagaimana patut kami lakukan terhadap bejana mereka dan kuali mereka? Nabi s.a.w. bersabda : “Jika kamu tidak mendapati selainnya (bejana dan kuali mereka), maka basuhlah ia dengan air dan masaklah di dalamnya dan minumlah”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Rujuk Nail al-Author, juzuk 1, hal. 95, no hadis 73).
Berdasarkan riwayat ini, masalah yang membelenggu umat khususnya golongan yang muallaf (yang baru menganut agama Islam) dengan keluarga masing-masing yang masih kekal sebagai non muslim akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Terdapat cerita-cerita di mana muslim baru ini tidak mahu melakukan ziarah ke rumah keluarga mereka walaupun terhadap ibu bapa sendiri dengan alasan khuatir makanan yang dihidangkan ada campuran khinzir. Mereka juga tidak mahu minum dengan cawan atau gelas di rumah kerana ia mungkin pernah digunakan untuk minuman arak.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan beberapa keadaan, antaranya :
1. Pemilihan waktu ziarah yang sesuai dengan waktu makan. Mungkin elok diziarahi pada sebelah petang dengan mengelakkan waktu makan puncak seperti makan tengah hari atau makan malam.
2. Membawa makanan sendiri untuk dimakan bersama.
3. Jika perlu menggunakan cawan, pinggan dan sebagainya maka basuhlah ia sekadarnya dengan air yang bersih.
PEMURNIAN TERHADAP SALAH-FAHAM FAHAMAN SALAF DAN KHALAF
1. Terdapat pertembungan antara golongan yang pro salaf dengan pro khalaf di Malaysia hari ini.
2. Siapakah salaf dan siapakah khalaf? Terdapat beberapa definisi terhadap dua istilah ini. Secara mudah, salaf ialah generasi awal Islam manakala khalaf ialah generasi yang terkemudian.
3. Golongan pro salaf di Malaysia biasanya mendokong fahaman tidak bermazhab, sentiasa merujuk kepada Quran dan sunnah, sentiasa menyebut kehebatan Syeikh Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Mereka juga merujuk kepada Syeikh Albani, ulama-ulama di Saudi dan sebagainya.
4. Manakala golongan pro khalaf biasanya mengikut mazhab yang empat khasnya mazhab Syafii di Malaysia, tidak terlalu merujuk kepada Ibn Taimiyyah dan ulama yang sewaktu dengannya.
5. Akhirnya berlaku pertembungan ilmu dan membawa kepada penyakit yang lain.
6. Hakikatnya para ulama tersebut tidak menganjurkan demikian. Mereka menganjurkan persaudaraan Islam. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, semua itu hanya kerana kefahaman ijtihad yang berbeza sahaja tetapi masih merujuk kepada Quran dan sunnah. Cuma dikatakan bahawa manhaj Syeikh Albani agak keras sedikit hingga sesiapa yang membaca karya-karya beliau akan mudah menuduh ulama ini salah, silap dan sebagainya.
7. Adakah salah mengikut manhaj salaf? Tidak salah. Ia adalah manhaj yang baik dan benar.
8. Dan adakah salah mengikut manhaj khalaf? Juga tidak salah. Bermazhab adalah harus.
9. Kalau tidak salah, kenapa perlu ada pertembungan? Pertembungan ini sebenarnya bukanlah di kalangan para ulama muktabar tetapi di kalangan pengikut sahaja. Antara faktornya mungkin kerana kematangan ilmu yang belum sampai waktunya.
10. Muslim yang matang ilmu akan mengikut Quran dan sunnah. Ijtihad para ulama adalah kefahaman yang baik. Muslim begini tidak akan fanatik kepada mana-mana ulama tetapi setiap pendapat diterima berdasarkan dalil dan hujah. Imam Ibn Taimiyyah seorang ulama yang hebat tetapi bukanlah syarat seorang ulama hebat bahawa beliau tidak pernah salah dalam ijtihad. Muslim begini tidak akan membelakang ulama mazhab kerana ulama mazhab adalah generasi salaf.
11. Salaf banyak menyatakan amalan masyarakat adalah bidaah namun khalaf tidak begitu. Apa puncanya? Puncanya ialah kerana kefahaman yang berbeza bagi makna sunnah dan makna bidaah. Pro salaf meluaskan makna bidaah dan menyempitkan makna sunnah. Sebaliknya pro khalaf meluaskan makna sunnah dan menyempitkan makna sunnah.
12. Oleh itu, pertembungan fahaman salaf dan khalaf di Malaysia dan yang sewaktu dengannya wajar dilihat dalam kerangka syariah yang luas.
13. Marilah kita bersatu atas nama islam. Islam adalah agama yang Allah redhai. Gelaran ‘muslim’ adalah nama yang disebut dalam Quran. Apa jua fahaman kita, kita semua masih lagi sebagai muslim. Marilah bersatu atas perkara yang disepakati, dan bertolak ansurlah dalam perkara yang dikhilafi.